Kemerdekaan
yang diperolehi Tanah Melayu bukanlah sesuatu yang mudah. Banyak pertumpahan
darah juga pengorbanan yang dilakukan oleh orang-orang terdahulu untuk
mempertahankan negara yang tercinta. Sebelum mencapai kemerdekaan juga banyak
peristiwa-peristiwa yang berlaku. Antaranya ialah peristiwa Bukit Kepong yang
mana kini telah difilemkan oleh allahyarham Tan Sri Jins Shamsudin. Pendekatan
dan usaha untuk membawa peristiwa sejarah ini ke layar perak amatlah baik. Hal
ini kerana kita mengetahui bahawa filem antara elemen yang sangat digemari oleh
pelbagai golongan terutama generasi muda. Dengan membawakan cerita-cerita
sejarah sebegini secara tidak langsung akan dapat membantu generasi muda
mengetahui sekali gus merasai pengalaman berada dalam situasi tersebut secara
visualnya. Jika selama ini hanya mempelajari dan mengetahui pasti kadar untuk
lupa juga adalah cepat. Secara visual sesuatu yang dilihat akan lebih kekal
sebagai memori yang panjang.
Peristiwa Bukit Kepong ini dengan
jelas telah menunjukkan bagaimana semangat orang dahulu. Seharusnya itu yang
dimiliki oleh generasi muda kini. Sikap untuk sanggup berkorban demi negara.
Tetapi yang sering berlaku adalah sebaliknya, masing-masing gemar bertelagah
dan bukan itu sahaja terlalu banyak kes bunuh-membunuh di Malaysia ini. Jika
dahulu kisah membunuh itu hanya di antara penduduk dan juga komunis, tetapi
kita sesama bangsa juga sudah sanggup membunuh. Bukanlah ini yang dimahukan
berlaku ketika Malaysia sudah mampu mencapai kejayaan demi kejayaan. Hal ini
seharusnya tidak boleh dibiarkan dan pastinya akan dibendung sebaik mungkin.
Ini untuk kebaikan kesemua masyarakat di Malaysia dan juga sekali gus menjaga
ekonomi negara yang mana mungkin boleh menyekat pelancong daripada datang
melancong ke Malaysia.
Pembentukan masyarakat majmuk di
Malaysia bermula apabila kemasukan migran daripada luar. Proses ini berterusan
sehingga penjajahan British di Tanah Melayu. Oleh itu, wujud masyarakat
berbilang kaum, ras, etnik dan bangsa di Malaysia. Kehadiran kelompok-kelompok
ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang kaya dengan budaya, adab resam,
bahasa dan latar belakang kebudayaan yang berlainan. Kemajmukan masyarakat
Malaysia menjadikan negara ini menjadi tarikan masyarakat luar. Malaysia
mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan sehingga kini negara mengecapi
kemerdekaan lebih 50 tahun. Suatu tempoh yang cukup mematangkan dalam
pembentukan sesebuah negara. Kemakmuran negara pada hari ini adalah disebabkan
oleh wujudnya persefahaman dan sikap toleransi dalam kalangan etnik berbilang
bangsa, budaya dan agama. Pembentukan dasar menyeluruh dan kesinambungan
program pembangunan negara telah banyak membantu dalam membentuk hubungan erat
dalam kalangan etnik di negara ini. Pelaksanaan dan penguatkuasaan
undang-undang, pelaksanaan misi Wawasan 2020 dan rancangan-rangcangan
pembangunan banyak membantu dalam membentuk dan mengekalkan hubungan etnik yang
baik di kalangan masyarakat majmuk berbilang kaum, bangsa dan agama.
Peristiwa Bukit Kepong ini adalah kejadian
serangan komunis yang berlaku semasa keadaan darurat di Persekutuan Tanah
Melayu selepas Perang Dunia II. Balai Polis Bukit Kepong ini telah diserang
sekitar jam 5 pagi oleh sekumpulan 180 orang komunis pada 23 Februari 1950.
Ketika diserang seramai 25 orang anggota polis telah terbunuh. Bukan itu sahaja
isteri anggota polis marin yang turut berjuang juga akhirnya terkorban. Kejadian
Bukit Kepong adalah pertempuran bersenjata yang bersejarah yang berlaku pada 23
Februari 1950 antara pihak polis dan Parti Komunis Malaya sebelum kemerdekaan
Persekutuan Tanah Melayu (1948-1963). Pertempuran ini berlaku di kawasan
sekeliling balai polis Bukit Kepong di Bukit Kepong. Balai polis yang diperbuat
daripada kayu ini terletak di tebing sungai Muar, sekitar 59 km dari bandar
Muar, Johor, Malaysia. Balai Polis Bukit Kepong terletak diselekoh sungai Muar,
sebuah perkampungan kecil yang terpencil dengan sekitar dua puluh buah rumah
dan kedai. Menjelang awal 1950, ia merupakan tumpuan pergerakan pihak komunis
di situ. Ketika itu balai polis itu diketuai oleh Ketua Polis Balai (KPB)
Sarjan Ray Dancey, yang pernah berkhidmat di Palestin. Ketika serangan ke atas
balai tersebut, beliau telah lama ditukarkan dan jawatannya diambil alih oleh
Sarjan Jamil Mohd Shah, kemungkinannya perkara yang diketahui oleh penyerang
komunis.
Kejadian ini bermula sebelum subuh apabila pihak
Komunis melancarkan serangan gerila ke balai polis. Ia berakhir dengan tragik
dalam penyembelihan berdarah dengan penyerang membunuh hampir kesemua pegawai
polis yang bertugas di situ. Pihak komunis hendak menjadikan contoh dari
serangan itu tentang apa yang akan terjadi kepada mereka yang menentang perjuangan
komunis. Apabila mereka memulakan pengepongan, pihak penyerang percaya bahawa
mereka akan dapat mengalahkan polis dan mengawal stesen polis tersebut dalam
tempoh yang singkat. Ini disebabkan beberapa faktor yang menyebelahi mereka
adalah kelebihan senjata dan jumlah keanggotaan dan keadaan balai polis yang
terpencil. Selain itu terdapat platun campuran 15 anggota polis Tugas Am dan
Konstabel Polis Marin pimpinan Sarjan Jamil sendiri. Ketika itu pasukan ini
turut diperkukuhkan oleh tiga konstabal polis khas dan empat Polis Tambahan
bagi tugas mengawal dan lain-lain, yang menjadikan 22 orang anggota kesemuanya.
Tiga belas isteri dan anak-anak anggota tinggal di berek kelamin di sebelah
belakang Balai. Sistem perhubungan yang sukar adalah sebab utama penempatan pasukan
polis marin di situ malah, pengangkutan utama ke Bukit Kepong adalah dengan
menaiki bot menyusuri Sungai Muar.
Muhammad Indera yang merupakan seorang komunis Melayu
telah memimpin dua platun komunis Melayu. Ikutkan seperti rancangan awal
serangan hanya untuk amaran tetapi pengaruh Goh Peng Tun menyebabkan serangan
menjadi lebih teruk lagi. Mereka telah bertindak dengan mengepung setiap sudut
balai polis Bukit Kepong. Kemuncak serangan adalah apabila Jaafar Bin Hassan
telah mencabar pihak komunis dengan menembak mati pengganas komunis yang
memotong kawat duri di balas tersebut. Ini telah menimbulkan lagi kemarahan
pihak komunis lantas mereka menyerang dengan habis-habisan. Pihak komunis
menyerang dengan harapan agar serangan yang dilakukan itu mampu mengejutkan
anggota polis di balai tersebut tetapi mereka juga telah mendapat serangan
balas yang cukup hebat terutama daripada kedudukan Bren Gun yang terletak di
kubu bawah bilik kawalan. Pihak polis yang diketuai oleh Sgt Jamil Mohd Shah,
tidak mahu menyerah, walaupun berkali-kali diseru oleh komunis agar mereka
menyerah. Satu persatu anggota gugur apabila pertempuran berterusan dan dua
orang isteri polis yang bertahan turut serta berjuang apabila mendapati suami
mereka terkorban semasa pertempuran.
Kemudian,
tepat jam 5.00 pagi, polis bantuan yang dibantu dengan penduduk kampung dari
Kampung Jawa bawah pimpinan Penghulu Ali bin Mustaffa bergerak untuk memberi
bantuan buat mereka di balai polis Bukit Kepong. Walaubagaimana pun mereka
telah diserang sebelum sempat sampai ke Bukit Kepong. Pihak komunis telah
bersedia di beberapa kawasan bagi menghalang sebarang bantuan ke Bukit Kepong.
Semasa diserang hendap, terdapat beberapa penduduk kampung yang telah
terkorban. Serangan masih belum berakhir lagi, pada jam 7.00 pagi pula pihak
komunis bertindak dengan lebih keras. Mereka telah menawan isteri Mariam
Ibrahim isteri kepada Mohamad Jaafar. Mereka melakukan tawanan kerana mahu
memaksa Mariam agar mengarahkan pihak polis untuk menyerah. Tetapi hal itu
langsung tidak diendahkan oleh pihak polis sendiri. Bukan sekadar Mariam
Ibrahim yang ditawan tetapi juga Fatimah Yaaba dan anaknya Hassan. Setelah pihak polis berkeras dan mereka
enggan menyerah, Mariam dicederakan dan Fatimah dibunuh. Suami Fatimah iaitu Abu
Bakar Daud yang bertugas sebagai pemandu bot di sungai Muar, turut berjuang
menentang pihak komunis sehingga cedera setelah ditembak di dada dan tangan,
ketika mempertahankan botnya.
Semasa pertempuran yang berlaku itu,
pihak komunis juga telah bertindak dengan membakar balai polis juga berek
kelamin yang ada. Semasa pembakaran itu terdapat dua wanita dan anak-anak yang
terbakar hangus tidak sempat untuk diselamatkan. Ketika itu juga hanya tinggal
tiga orang anggota polis yang masih bertahan. Mereka juga telah berlari keluar
dari balai polis tersebut dan terus merempuh pihak komunis yang ada. Ketika itu
juga pastinya pihak komunis terus menembak mereka yang cuba lari dari balai
yang terbakar itu. Pada masa yang sama, penduduk kampung Durian Chondong di sebelah
barat menghantar bot ke Lenga untuk memberitahu pihak berkuasa mengenai
serangan ini. Setelah hampir lima jam menyerang, akhirnya pihak komunis telah
berjaya menawan balai polis Bukit Kepong ini. Selepas puas dengan apa yang
dilakukan pihak komunis ini berundur kembali ke hutan dan meninggalkan
mayat-mayat yang bergelimpangan juga segala kemusnahan yang telah dilakukan.
Bukan itu sahaja, sifat kekejaman mereka bertambah apabila dengan sengaja
melontarkan mereka yang cedera dan mayat-mayat ke dalam api. Paling tragis
apabila termasuk Hassan bin Abu Bakar anak kepada Abu Bakar yang dicampak
hidup-hidup kedalam api. Selain daripada itu, seramai 14 anggota polis termasuk
Sarjan Jamil, 4 pengawal kampung, 3 polis bantuan, isteri Abu Bakar Daud dan
tiga anak mereka terbunuh dalam serangan itu. Ini telah menjadikan jumlah
kematian adalah 25 orang. Mereka yang terselamat daripada serangan maut itu
hanyalah 4 anggota polis dan 9 ahli keluarga termasuk isteri dan anak mereka.
Ketika balai polis Bukit Kepong ini
diserang, banyak juga bantuan yang dihulurkan di kampung-kampung yang
berdekatan. Antaranya daripada kampung Tui yang diketuai oleh Penghulu Mukim,
Ali Mustafa serta 13 orang anggota polis bantuan, pengawal kampung juga home guard. Tetapi bantuan tidak dapat
sampai ke kawasan yang diserang kerana mereka sendiri telah diserang hendap
oleh pihak komunis ketika dalam perjalanan. Kelebihan pihak komunis adalah dari
segi senjata mereka yang lengkap jika hendak dibandingkan dengan penduduk
kampung ini. Pihak komunis dilengkapi dengan senjata automatik dan separa
automatik berbanding raifal, shotgun dan revolver. Beberapa orang penduduk
kampung juga telah tercedera. Tetapi ianya tetap memberi semangat kepada
pasukan yang bertahan ketika itu. Oleh kerana berlakunya ketidakseimbangan
penghulu Ali Mustafa mengarah anggotanya berundur sementara yang lain diarah
mempertahankan kawasan sekeliling bandar Bukit Kepong. Pihak komunis akhirnya
berundur selepas membakar pejabat kampung dan merompak beberapa kedai.
Bukan sahaja bantuan daripada
kampung Tui, sekumpulan penduduk kampung Durian Chondong yang terdiri daripada
pengawal berkayuh sampan untuk memberi bantuan di Bukit Kepong. Nasib mereka
sama seperti penduduk kampung Tui, hanya separuh daripada 7 penduduk dalam kumpulan
tersebut terselamat dan terus ke Lenga. Mereka berjaya juga sampai di sana dan
ketika itu berita mengenai serangan keatas balai polis Bukit Kepong disampaikan.
Apabila pengawal kampung memasuki pekan Bukit Kepong, mereka dapat melihat
kemusnahan balai yang hangus terbakar akibat serangan kejam tersebut. Penghulu
Ali Mustafa mengambil alih pentadbiran pos luar tersebut sehingga diganti oleh
pasukan polis dari Muar dan Lenga. Pertempuran Bukit Kepong dianggap sebagai
kekalahan tragik yang bagaimanapun mengukuhkan lagi semangat kerajaan dan
penduduk untuk memerangi pengganas komunis. Sepasukan kecil berjuang menentang
pasukan yang jauh lebih besar meningkatkan semangat dan moral dalam perjuangan
menentang komunis.
Melalui
maklumat sejarah yang diperolehi telah disenaraikan ketka itu antara anggota
polis yang terselamat adalah :
1. Mata-Mata
10533 Othman bin Yusoff
2. Mata-Mata
Marin 37 Abu Bakar bin Daud
3. Mata-Mata
Tambahan 3472 Ahmad bin Khalid
4. Mata-Mata
7645 Yusoff Rono.
Keempat-empat
anggota ini sudah pun meninggalkan disebabkan faktor umur. Untuk ahli keluarga yang
berjaya selamat pula ialah :
1. Mariam
binti Ibrahim iaitu isteri Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar
2. Zainun binti Muhamad anak Mata-Mata 7493
Muhamad bin Jaafar
3. Abu
Samah bin Muhammad juga anak Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar
4. Zaleha
binti Muhamad anak Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar
5. Jamilah
binti Abu Bakar iaitu anak perempuan Mata-Mata Marin 37 Abu Bakar bin Daud
6. Hussain
bin Abu Bakar anak lelaki Mata-Mata 37
Abu Bakar bin Daud
7. Fatimah
binti Abdul Manan @ Timah Lawa isteri Mata-Mata Hassan Osman
8. Pon
binti Khalid isteri Mata-Mata Marin 68
Awang bin Ali
9. Fatimah
binti Tuani isteri Mata-Mata 3933 Hamzah bin Ahmad
10. Edmund
Ross Williams Hunt iaitu pemandu arah
Manakala senarai bagi anggota yang telah berkorban
habis-habisan dan gugur di peperangan serangan ke atas balai polis Bukit Kepong
ialah Sarjan 2493 Jamil bin Mohd Shah (Ketua Balai Bukit Kepong), Koperal 7068
Mohd Yassin bin Haji Wahab (Timbalan Ketua Balai Bukit Kepong), Lans Koperal
7186 Jidin bin Omar, Mata-Mata 9136 Hassan bin Osman, Mata-Mata 3933 Hamzah bin
Ahmad, Mata-Mata 8600 Jaafar bin Hassan, Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar, Mata-Mata
5674 Abu bin Mohd Ali, Mata-Mata 7862 Abu Kadir Jusoh, Mata-Mata Marin 60
Ibrahim bin Adam, Mata-Mata Marin 68 Awang bin Ali, Mata-Mata Marin 181 Basiron
bin Adam, Mata-Mata Tambahan 3475 Mohd Top bin Lazim, Mata-Mata Tambahan 3795
Jaafar bin Arshad. Untuk anggota polis bantuan pula yang gugur terdiri daripada
lima orang sahaja iaitu Ins. Kudarina Naknok, AP 2130 Samad bin Yatim, AP 1912
Mahmud bin Sa'at, AP 1925 Ali bin Akob dan AP 2127 Othman Yahya. Untuk anggota
keluarga yang mati dibunuh juga adalah Fatimah binti Yaaba - isteri Mata-Mata
Marin 37 Abu Bakar bin Daud, Hassan bin Abu Bakar - anak Mata-Mata Marin 37 Abu
Bakar bin Daud, Saadiah - isteri Mata-Mata 5674 Abu bin Mohd Ali, Simah binti
Abu - anak Mata-Mata 5674 Abu bin Mohd Ali dan Arafah binti Yusoff - isteri
Mata-Mata Marin 60 Ibrahim bin Adam. Untuk anggota polis bantuan juga pengawa
kampung yang terkorban adalah tiga orang iaitu AP 2098 Redzuan bin Alias, Embong
bin Lazim dan Mendiang Koh Ah Cheng
Maklumat sejarah mengenai Bukit Kepong pernah
dicelarukan apabila keluar kenyataan semasa mengenai Peristiwa Bukit Kepong.
Mohamad Sabu pada 21 Ogos 2011 dalam satu ceramahnya mengeluarkan kenyataan
kontroversi dan bercanggah dengan menyatakan bahawa Muhammad Indera dan 200
anggota tentera pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) semasa Peristiwa Bukit
Kepong 1950 yang selayaknya digelar "wira negara" dan bukannya
anggota polis yang berjuang sehingga ke titisan darah terakhir untuk
mempertahankan balai polis Bukit Kepong, dengan mendakwa kononnya kesemua
anggota polis semasa penyembelihan tersebut sebagai pegawai British manakala
askar PKM pula dianggap ‘wira negara sebenar’ memandangkan mereka menentang
British. Ceramah yang videonya tersebar luas di laman YouTube, telah
mencetuskan kemarahan rakyat di seluruh Malaysia, memandangkan kenyataan
tersebut dianggap sabagai satu penghinaan terhadap ahli keluarga mangsa yang
terkorban. Di samping para pejuang kemerdekaan lain yang tiada kaitan dengan
PKM seperti Allahyarham Tunku Abdul Rahman dan Dato' Onn Jaafar Walau
bagaimanapun, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menafikan segala tuduhan tersebut.
Setiap peristiwa yang berlaku pastinya memberikan
kesan terutama kepada hubungan etnik. Seperti yang diketahui hubungan etnik ini
sudah sinonim dengan negara kita Malaysia. Malaysia sebuah negara yang istimewa
kerana mempunyai pelbagai kaum. Antaranya ialah Melayu, India, Cina dan untuk
di Sabah dan Sarawak pastinya lebih banyak kaum. Melalui peristiwa Bukit Kepong
ini pastinya telah memberikan kesan pada masa itu. Apa yang paling terkesan
sekali apabila Muhammad Indera telah menjadi ketua komunis Melayu. Kecurangan
yang dilakukan oleh Mat Indera ini pastinya memalukan orang Melayu kerana dia
sendiri sanggup membelot dan membunuh orang-orang Melayu. Bukan itu sahaja,
kaum-kaum lain seperti Cina dan juga India yang melihat secara tidak langsung
akan membuat rasa hormat itu semakin menipis. Ini bukanlah contoh yang terbaik
untuk dipaparkan ketika itu. Sebagai penduduk Tanah Melayu sepatutnya Mat
Indera berjuang mempertahankan tanah airnya. Tetapi ini tidak, pengaruh besar
oleh pihak komunis telah membuatkan Mat Indera sanggup membelot.
Hubungan etnik ketika berlakunya peristiwa Bukit
Kepong ini masih kukuh walaupun terdapat pengkhianat seperti Mat Indera.
Kesemua kaum Melayu, Cina dan India bersama-sama berganding bahu untuk
menentang serangan pihak komunis di Bukit Kepong itu. Kaum Melayu terutamanya
berjuang habis-habisan demi mempertahankan apa yang mereka mampu. Namun apakan
daya pihak komunis mempunyai kelebihan dengan alatan yang lebih canggih.
Seperti yang kita ketahui pihak komunis ada yang terdiri daripada kaum Cina.
Tetapi itu tidak menjadikan kaum Cina lain sebagai sasaran dalam peperangan.
Masyarakat masih wajar untuk berfikir dan bertindak mengikut kewajaran yang
sepatutnya. Oleh itu, kaum Melayu, Cina dan India masih kekal hingga ke hari
ini di Malaysia. Sebelum peristiwa Bukit Kepong ini ada juga terdapat
perselisihan faham antara kaum ini. Namun, berjaya diselesaikan dengan cara
yang berhemah. Tambahan pula ketika serangan Bukit Kepong itu, Tanah Melayu
sudah hampir untuk mencapai kemerdekaan.
Seterusnya pula dilihat hubungan etnik pada masa kini.
Setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, maksudnya kita sudah tidak lagi
dijajah oleh negara luar sehinggalah ke hari ini. Pastinya tiada sesiapa yang
mahu berlaku sedemikian rupa. Oleh itu, hubungan etnik dipelihara dengan baik
agar tidak mencetuskan apa jua kontroversi. Cukuplah peristiwa 13 Mei yang
telah mencemarkan nama baik negara. Kini isu perkauman amat dijaga dan itu
menjadi sensitiviti oleh semua pihak. Sekarang ini juga terdapat kes-kes kecil
yang berlaku iaitu salah faham antara kaum, saling tuduh-menuduh, pergaduhan
dan sebagainya lagi menimbulkan rasa kurang senang dari kaum yang lain. Sungguh
pun ini hanyalah hal yang kecil, hukuman yang setimpal perlu diletakkan agar
masyarakat kita tidak berani untuk menyentuh isu-isu perkauman ini. Untuk
memastikan negara aman damai dan harmoni, hubungan etnik perlu diberi
perhatian.
Oleh itu kerangka kesepaduan negara perlu dilihat
semula. Adakah elemen-elemen yang sedia ada mampu untuk menjaga hubungan etnik
yang ada pasang surutnya di zaman ini. Antara elemen yang dirasakan diperlukan
dalam kerangka kesepaduan sosial adalah saling-bergantungan. Perkara ini ada
negatif dan positifnya. Mungkin secara negatif dilihat bahawa elemen
saling-bergantungan akan menjadikan masyarakat negaraaa kita ini kurang
berdikari dan pastinya terlalu mengharapkan kepada orang lain. Namun dari sudut
yang positifnya pula adalah, apabila seseorang menyedari bahawa dalam kehidupan
ini, mereka masih memerlukan orang lain makanya secara tidak langsung mereka
akan menjaga hubungan tersebut dan tidak akan sesekali merosakkannya. Andai
kata hubungan itu rosak di mana lagi bantuan yang mungkin diperolehi nanti.
Itulah gunanya elemen saling-bergantungan ini sebenarnya. Membuatkan masyarakat
pelbagai kaum ini saling bergantung antara sama lain. Bahkan dengan cara itu
juga mereka akan berganding bahu dalam melaksanakan sesuatu perkara. Tambahan
pula setiap sektor pastinya diwakili oleh kaum yang pelbagai ini.
Elemen yang kedua pula ialah takrifan harian yang juga
bemaksud terdapatnya tolak ansur serta saling memahami antara kaum. Pastinya
elemen ini sangat berguna sekali kerana dengan tolak ansur serta sikap saling
memahami akan menyelesaikan segala masalah yang melanda. Tiada lagi pertuduhan
antara kaum begitu juga dengan pergaduhan. Setiap kaum akan menghormati di
antara sama lain dan mereka tidak akan berbuat sesuatu yang akan melukakan hati
masyarakat lain. Seperi situasi sekarang ini, terutama golongan muda sudah
tidak lagi mempedulikan perasaan orang sekeliling tambahan pula dengan kaum
lain. Masing-masing hanya mementingkan diri sendiri sahaja dan melakukan apa
sahaja yang mereka inginkan. Itulah yang perlu dibendung dengan elemen-elemen
yang diujarkan dalam kerangka kesepaduan sosial ini. Untuk memastikan negara
atau kehidupan kita aman damai, perlulah saling bertolak ansur. Contohnya
masyarakat di kawasan kejiranan yang pelbagai. Kaum Melayu pastinya akan
mewujudkan sebuah surau di kawasan mereka, kaum Cina dan India pula dengan
haiwan belaan meraka iaitu anjing. Sungguhpun jelas membawa perbezaan yang
ketara tidak bermakna ketiga-tiga kaum ini tidak boleh hidup dengan keadaan
yang harmoni. Dengan wujudnya dalam diri masing-masing sikap untuk bertolak
ansur dan saling memahami akan menjadikan kawasan perumahan itu bersatu dan
aman damai.
Bukan itu sahaja, masih terdapat elemen lain yang
diperlukan iaitu kerjasama. Kerjasama sememangnya sudah wujud ketika peristiwa
serangan balai polis Bukit Kepong lagi. Jika tidak bagaimana untuk penduduk
tanah Melayu bertahan sehingga ke titisan darah yang terakhir malah memberikan
tentangan yang hebat kepada para tentera komunis. Sehingga sekarang ini kerjasamalah
yang membuatkan negara kita mampu mencapai pelbagai kejayaan. Zaman kini
walaupun terdapat beberapa masalah kecil antara kaum tetapi itu tidak menjadi
halangan kepada masyarakat lain untuk bekerjasama. Tambahan pula di tempat
kerja juga telah dihuni oleh rakan sekerja yang pelbagai kaum. Oleh itu, tiada
alasan lagi untuk masyarakat tidak bergaul antara satu sama lain. Hasil
kerjasama akan membawa kepada permuafakatan antara mereka. Malah dengan
kerjasama juga mampu membantu mencetuskan idea yang lebih pelbagai. Kuasa
kerjasama ini tidak akan dapat dijangka oleh sesiapa kerana hasilnya adalah
menakjubkan.
Elemen yang seterusnya pula adalah permuafakatan.
Seperti kata pepatah yang sering kali kita dengari iaitu sepakat membawa
berkat. Itulah yang perlu ditanam dan disemaikan buat masa kini. Permuafakatan yang terbina
akan membawa kepada hasil yang menguntungkan negara. Tambahan pula negara kita
sekarang sinonim dengan slogan ‘1 Malaysia’, oleh itu elemen ini pastinya
sangat diperlukan. Pemerintah negara Malaysia seharusnya prihatin terhadap isu
perkauman dan sentiasa mewujudkan perkara-perkara yang dapat mengeratkan
silaturrahim antara kaum ini. Untuk negara yang mempunyai pelbagai kaum, elemen
ini pastinya amat berguna. Kita pastinya tidak mahu keadaan huru-hara mahu pun
kucar-kacir yang mana akan mempengaruhi masyarakat untuk ke arah perkara yang
negatif.
Elemen yang lain juga adalah seperti menjauhi
elemen-elemen yang negatif. Antara elemen-elemen yang negatif adalah seperti
diskriminasi, prejudis, stereotaip dan sebagainya lagi. Walau apa juga perkara
sikap-sikap negatif perlu dihapuskan agar tidak membawa ancaman kepada negara. Perkara-perkara
yang negatif ini selalu diwujudkan oleh generasi muda masa kini. Tambahan pula
dengan kemajuan teknologi yang serba canggih ini memudahkan lagi mereka untuk
melayari perkara-perkara yang tidak berfaedah dan memburukkan lagi sesuatu
keadaan. Kemajuan teknologi bukanlah sesuatu yang tidak baik, ada
kepentingannya yang tersendiri iaitu boleh mengeratkan hubungan etnik secara
dalam talian. Berkenalan dan bergaul dengan lebih banyak etnik di Malaysia ini
akan mudah untuk dilaksanakan tanpa perlu berjumpa. Tetapi yang tidak baiknya
ialah apabila terdapat dalam kalangan masyarakat yang diskriminasi terhadap
sesetengah kaum. Mereka lebih gemar untuk bersikap prejudis dengan kaum yang
tidak disukai oleh mereka. Inilah yang sepatutnya dihindarkan daripada terus
berleluasa. Jika dibiarkan lama kelamaan generasi yang akan datang akan
mengikut jejak seperti ini dan bukan menguntungkan negara tetapi meruntuhkan
lagi moral masyarakat kita sendiri kelak.
Elemen yang terakhir sekali adalah
akomodasi yang membawa maksud proses yang mana memerlukan kerjasama dua pihak
atau lebih yang mempunyai matlamat yang berbeza tetapi dalam masa yang sama
mampu membentuk kepada satu matlamat dan memuaskan hati kedua-dua pihak. Untuk
peristiwa Bukit Kepong, kebanyakan masyarakat bekerjasama dalam berusaha menuju
kepada satu matlamat yang sama iaitu mahukan Tanah Melayu bebas dijajah dan
mencapai kemerdekaan. Masing-masing tidak mahu Tanah Melayu ditindas dan
masyarakat terus dikejami oleh pihak komunis tanpa sebarang sebab musabab.
Elemen ini masih perlu diwujudkan dalam kerangka kesepaduan sosial kerana
sekarang ini terutama dari segi politiknya dapat dilihat dua pihak yang
mempunya matlamat yang mungkin berbeza sebenarnya tetapi mereka ini bersatu
padu dalam membentuk satu matlamat yang sama. Pertubuhan badan-badan politik
yang pelbagai sekarang ini pastinya membawa kepada kepelbagaian matlamat.
Setiap badan politik pastinya mempunyai matlamat yang bercanggah antara satu
sama lain. Walaubagaimana pun mereka masih tetap bersatu dalam memastikan
kemajuan juga keamanan negara. Itulah yang dimahukan untuk mengekalkan Malaysia
sebagai sebuah negara yang demokratik dan setiap orang berhak untuk bersuara
tanpa mengira apa juga kaum, selagi bergelar warganegara makanya mereka
mempunyai hal terhadap negara Malaysia ini.
Ingin ditegaskan kembali di sini
bahawa elemen yang diperkatakan di atas iaitu saling-bergantungan, takrifan
harian, kerjasama, permuafakatan, menjauhi elemen-elemen negatif dan juga
akomodasi merupakan elemen yang sangat penting untuk diwujudkan dalam kerangka
kesepaduan sosial di Malaysia. Kemungkinan dengan adanya elemen ini membuatkan
rakyat lebih menyedari kepentingan menjaga hubungan etnik sesama mereka.
Hubungan etnik yang sudah terjalin sebelum Tanah Melayu mencapai kejayaan ini
perlu diingati dan dijaga sehingga ke hari ini. Hal ini kerana tanpa
permuafakatan kesemua etnik di Malaysia, tidak mungkin Malaysia dapat aman
sebegini. Bukan itu sahaja, setiap etnik saling bantu-membantu antara satu sama
lain tanpa mengira penat lelah. Contohnya juga semasa umat Islam mahu menyambut
hari raya, kaum lain juga tidak ketinggalan dalam membantu umat Islam yang
serba kekurangan dalam menyediakan persiapan hari raya. Bukti kasih sayang yang
terjalin tanpa mengira warna kulit atau asal usul ini sememangnya wujud
sehingga ke hari ini. Untuk mencapainya pastinya tidak mudah, pelbagai halangan
perlu dilalui dan untuk mengekalkanya kita perlu berusaha dengan sebaik
mungkin.
Setelah menyelusuri perjalanan kisah
balai polis Bukit Kepong yang telah ditawan komunis dan juga elemen-elemen yang
diperlukan dalam kerangka kesepaduan sosial di Malaysia, kini terdapat cadangan
yang boleh dilaksanakan bagi mengemaskini lagi hubungan etnik di Malaysia.
Cadangan yang pertama ialah dengan memastikan warganegara Malaysia, kesemuanya
tidak menimbulkan sebarang masalah kaum. Untuk itu, peraturan yang ketat perlu
diletakkan. Tidak cukup dengan peraturan yang sedia ada kerana ada sesetengah
darinya masih tidak mengendahkannya. Tujuan peraturan yang lebih ketat
diwujudkan agar masyarakat yang suka membuat masalah lebih takut untuk
melakukannya. Sungguh pun sekadar isu-isu yang kecil namun kawalan perlu
diperketatkan dan hukuman perlu dilaksanakan untuk memberi iktibar kepada orang
lain agar tidak melakukan perkara yang sama itu. Bukan hanya untuk rakyat
bawahan sahaja, tetapi peraturan yang dibina khas juga adalah untuk para
pemimpin terutama yang terlibat dengan politik agar tidak menggunakan isu
perkauman sebagai alat untuk mereka mengukuhkan parti mereka. Ini adalah suatu
hal yang tidak sihat berlaku dalam kalangan masyarakat para pemimpin ini.
Cadangan yang kedua pula ialah
mewujudkan hari atau bulan patriotisme negara pada setiap tahun. Iktibar yang
diambil berdasarkan kepada peristiwa Bukit Kepong iaitu sikap berpaling tadah
yang dilakukan Muhammad Indera atau Mat Indera yang telah menjadi ketua komunis
Melayu. Individu yang bernama Mat Indera ini sanggup melakukan kekejaman ke
atas kaumnya sendiri demi kepentingan diri sendiri. Untuk mengelakkan daripada
berlakunya sikap sebegini dalam kalangan masyarakat pada hari ini, makanya
lebih baik untuk didedahkan masyarakat dengan sikap patriotism terhadap negara.
Oleh itu, sedikit demi sedikit akan menimbulkan rasa cinta dan sayang terhadap
negara. Apabila bercakap mengenai sayang terhadap negara pastinya semua orang
akan mengatakan sedemikian. Namun adakah itu yang benar-benar mereka maksudkan
atau hanya sekadar ayat untuk sedapkan diri sendiri dan juga orang lain agar
tidak dikatakan sebagai mementingkan diri. Bulan atau hari patriotisme ini akan
dilaksanakan dengan pelbagai aktiviti yang menarik. Melalui aktiviti-aktiviti
yang disediakan inilah, rakyat Malaysia akan mengtahui peristiwa sejarah,
menanamkan minat terhadap sejarah negara, melihat kemajuan yang telah dicapai
negara dan pelbagai lagi. Perkara seperti ini perlu kerap dilakukan agar
masyarakat kita dapat mengulangkaji mengenai sejarah negara. Secara tidak
langsung juga, etnik-etnik yang ada akan bergabung tenaga dan masa untuk
menjayakan hari atau bulan patriotisme ini.
Kesimpulannya, peristiwa Bukit
Kepong yang telah mengorbankan banyak nyawa memberikan kesan yang mendalam
kepada penduduk Tanah Melayu ketika itu. Tindakan pihak komunis yang kejam juga
membuatkan penduduk Tanah Melayu mahukan kemerdekaan dengan kadar yang segera.
Berdasarkan kepada peristiwa ini juga boleh dipelajari mengenai hubungan etnik
yang wujud pada masa itu dan bagaimana membawa hal ini bersesuaian dengan
situasi sekarang ini. Speerti yang kita ketahui, kemerdekaan telah berjaya
memberikan kita mutu kehidupan yang selesa dengan pelbagai peluang yang terbuka
luas. Negara kita yang berpandukan kepada Political Managements and Policies in
Malaysia mampu membina kedudukan yang kukuh dalam semua bidang setanding dengan
negara-negara barat, sama ada dari sudut politik, ekonomi mahupun sosial agar
generasi akan datang dapat menikmati kehidupan yang lebih baik. Rakyat Malaysia
bertanggungjawab untuk memelihara dan meneruskan kesinambungan usaha-usaha yang
telah dijayakan oleh generasi terdahulu. Peristiwa-peristiwa sejarah yang lepas
mengajar erti perpaduan, kerjasama dan keburukan komunisme. Kesemua pihak yang
mempunyai kepentingan di negara ini, bermula daripada pemimpin, tenaga kerja
kerajaan, swasta, mahupun golongan profesional, buruh, petani dan
belia,kesemuanya mempunyai tanggungjawab yang besar serta penting untuk
mewarnakan dan mencorakkan masa depan Malaysia hasil daripada kemerdekaan yang
telah di kecapi dalam tempoh lebih 50 tahun ini. Pencapaian negara selepas
hampir 50 tahun merdeka sehingga kini jelas memperlihatkan perubahan cemerlang
termasuklah dalam memupuk hubungan etnik di negara ini. Hubungan etnik yang
baik dan harmoni menjadikan Malaysia cemerlang serta unik di mata dunia.
Hubungan etnik dan pencapaian selepas hampir 50 tahun dapat dilihat dalam pelbagai
perkara antaranya dalam aspek politik, ekonomi, budaya dan agama.
mantap la ini ulasan semua ..terima kasih kerana ulasan anda telah membantu saya untuk menyiapkan tugasan sekolah saya.. beribu terima kasih diucapkan sekali lagi.. :)
BalasPadam